Ahad, 11 Disember 2011

Jamuan makan tok guru


       Seorang tok guru telah dijemput ke suatu majlis jamuan makan. Dengan pakaian yang sangat sederhana, tok guru itu pun pergi ke majlis itu.
       Malangnya, setibanya di majlis itu, dia tidak dirai atau dijemput untuk makan. Tuan rumah lebih mengutamakan orang kenamaan; orang kaya, orang berpangkat dan ternama diberi keuatamaan. Tok guru dipinggirkan.
Menyedari sikap 'pilih bulu' tuan rumah, tok guru pulang semula ke rumahnya Lalu menukar pakaiannya. Kali ini beliau memakai pakaian mahal dan gemerlapan.
       Kemudian dengan segera beliau pergi semula ke majlis itu. Kali ini dia disambut dengan mesra dan dijemput dengan hormat menjamu selera makanan yang lazat-lazat oleh tuan rumah.
       Tiba-tiba tok guru menuangkan lauk-pauk dan makanan yang dihidangkan oleh tuan rumah ke atas baju, seluar dan seluruh pakaiannya yang mahal-mahal itu. "Mengapa?" tanya orang ramai. Tok guru menjawab, "Tuan rumah hendak menjamu pakaianku, bukan diriku!"

Pengajaran: Pandangan terhadap diri sendiri jauh lebih penting dari pandangan orang lain terhadap kita. Inilah yang dikatakan harga diri. Dan inilah syarat utama untuk berjaya dalam hidup. Jadi, jangan risau kalau kita tidak dihargai, tetapi risaulah jika diri kita benar-benar tidak berharga. Harga diri kita bukan terletak pada barang bernilai yang kita pakai atau miliki, tapi pada ilmu, akhlak dan taqwa yang ada dalam diri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan