Ahad, 25 Disember 2011

Keldai yang memakai serban

       Seorang lelaki hikmah masuk ke sebuah kampung dengan menunggang seekor keldai. Beliau yang memakai serban besar kelihatan begitu letih dan ingin beristirehat di kampung itu sebelum meneruskan kembaranya. Melihat ahli hikmah itu datang ke kampung mereka,orang kampung itu pun segera menyambutnya.
       "Assalamualaikum orang alim." Sapa seorang lelaki.
       "Selamat datang tuan." sapa seorang yang lain. Tidak lama kemudian, hebohlah seluruh isi kampung. Hampir seluruh penduduk kampung keluar menyambut ahli hikmah tersebut. "Tolong ajarkan kami..." pinta mereka. "Jadilah guru kepada kami semua." "Syukur tuan datang. jika tidak, jahillah kami."
       Ahli hikmah turun dari kedainya dan bertanya "Bagaimana kamu boleh tahu aku ini orang alim?" Orang-orang kampung itu pun menjawab hampir serentak, "Kerana kami melihat tuan memakai serban yang besar. Jika serban yang tuan pakai besar, tentulah ilmu tuan banyak. Tolong, tolong ajarlah kami." Sambil tersenyum, ahli hikmah itu membuka serbannya dan terus meamakaikan serbannya di atas kepala keldainya.
       "Ha! Sekarang keldaiku telah memakai serban yang besar. Silalah kalian belajar dengannya." Orang kampung tercengang-cengang. Tidak sangka mereka telah mendapat 'pelajaran pertama' daripada ahli hikmah itu dengan cara yang begitu bersahaja, tetapi sangat sinis sekali.
       Ya, ada kalanya pengajaran pahit sedikit.

Pengajaran: Ramai antara kita yang masih mengukur dalaman seseorang dengan hanya melihat luarannya sahaja. Walaupun tanda-tanda lahiriah juga penting sebagai tanda baik buruk seseorang, tetapi sikap terlalu cepat menerima atau menolak seseorang hanya berdasarkan pakaian, kelulusan, gelaran atau lain-lain ukuran fizikal atau material, adalah tidak tepat. Pakaian umpama 'topeng' yang kita pakai. Tidak salah memakai topeng yang baik. Namun pastikan kita lebih baik dari topeng yang kita pakai.

Ahad, 11 Disember 2011

Jamuan makan tok guru


       Seorang tok guru telah dijemput ke suatu majlis jamuan makan. Dengan pakaian yang sangat sederhana, tok guru itu pun pergi ke majlis itu.
       Malangnya, setibanya di majlis itu, dia tidak dirai atau dijemput untuk makan. Tuan rumah lebih mengutamakan orang kenamaan; orang kaya, orang berpangkat dan ternama diberi keuatamaan. Tok guru dipinggirkan.
Menyedari sikap 'pilih bulu' tuan rumah, tok guru pulang semula ke rumahnya Lalu menukar pakaiannya. Kali ini beliau memakai pakaian mahal dan gemerlapan.
       Kemudian dengan segera beliau pergi semula ke majlis itu. Kali ini dia disambut dengan mesra dan dijemput dengan hormat menjamu selera makanan yang lazat-lazat oleh tuan rumah.
       Tiba-tiba tok guru menuangkan lauk-pauk dan makanan yang dihidangkan oleh tuan rumah ke atas baju, seluar dan seluruh pakaiannya yang mahal-mahal itu. "Mengapa?" tanya orang ramai. Tok guru menjawab, "Tuan rumah hendak menjamu pakaianku, bukan diriku!"

Pengajaran: Pandangan terhadap diri sendiri jauh lebih penting dari pandangan orang lain terhadap kita. Inilah yang dikatakan harga diri. Dan inilah syarat utama untuk berjaya dalam hidup. Jadi, jangan risau kalau kita tidak dihargai, tetapi risaulah jika diri kita benar-benar tidak berharga. Harga diri kita bukan terletak pada barang bernilai yang kita pakai atau miliki, tapi pada ilmu, akhlak dan taqwa yang ada dalam diri.

Sabtu, 10 Disember 2011

Arah yang tak tentu arah



Seorang lelaki yang sedang sesat jalan berada di empat persimpangan. "Mana satu simpang yang saya harus pilih?" Tanyanya kepada seorang yang kebetulan berada di situ. "Kamu hendak ke mana? Ke mana destinasimu?" "Saya tak tahu..." jawab lelaki itu. "Kalau begitu apa nak dikisahkan simpang yang mana? ambil sahaja yang mana satu."

Pengajaran: Tiada angin yang ingin memihak kepada kapal yang tiada pelabuhan untuk dituju. Sebaliknya, dunia akan menyediakan jalan untuk orang yang mempunyai tujuan dalam hidupnya. Tanpa panduan wahyu, manusia akan sibuk mencari. Namun, mencari sesuatu yang mereka sendiri tak pasti, apakah mungkin ditemui?

Jumaat, 9 Disember 2011

Akibat terlalu dekat

       Seorang penjual telur sedang sibuk di kedainya. Seorang pelanggannya yang sedang memilih telur ingin menguji kebijaksanaan si penjual telur. Dalam diam dia mengambil sebiji telur dan digenggam di dalam tangannya.
       "Jika awak bijak, cuba teka apa yang ada di dalam tangn saya ini." Kata pelanggan itu lalu menunjyukkan genggamannya. "Cuba berikan aku bayangan." Pinta penjual telur itu. "Benda ini bentuknya seperti telur." ujar pelanggan. "Lagi?" Warnanya seperti telur."
       "Lagi?" Rayu penjual telur lagi. Pelanggan menggeleng-gelengkan kepalanya lantas berkata "Belum cukup lagi? Baiklah, jika dimasak rasanya seperti telur. Ia cair dalam keadaan biasa tapi bila dipanaskan ia menjadi pepejal.
       Penjual telur masih terpinga-pinga. Tolong berikan lagi pembayang yang lebih hampir." "Di dalamnya ada cecair berwarna putih mengelilingi warna kuning!" Setelah berfikir panjang, penjual telur menjerit "Aku tahu jawapannya! Ia sejenis kuih! Pelanggan menggeleng-geleng kepala. Lantas membuka genggamannya. Ya, hanya sebiji telur... apa lagi?

Pengajaran: Manusia sering menjadi 'buta' dengan apa yang terlalu hampir dengan dirinya. Ya, kerap
kali sesuatu itu tidak dapat dilihat bukan kerana terlalu jauh tapi kerana terlau dekat.

Khamis, 8 Disember 2011

3 sahabat yang bakhil



Tiga orang sahabat yang terkenal kedekut sedang berkira-kira untuk memberi sedekah sebahagian harta mereka setelah orang ramai mengecam sifat kedekut mereka. Lelaki pertama berkata "Aku akan melukis bulatan di atas tanah dan kemudian akan aku baling wang ke udara. Wang yang jatuh dalam bulatanku adalah milikku dan wang yang jatuh di luar akan aku beri kepada orang miskin." Lelaki kedua pula berkata "Aku pula akan melukis garisan memanjang di atas tanah. Akan aku lemparkan wang ke langit. Wang yang jatuh di sebelah kanan garisan adalah wang aku dan yang jatuh di kiri garisan akan aku dermakan." Lelaki ketika diam sejenak. Mencari alasan yang lebih hebat. Dialah lelaki yang paling kedekut. Katanya, Aku pula tidak akan melukis apa-apa di atas tanah. Akan aku lemparkan wangku ke langit. Wang jatuh ke tanah adalah milikku. Dan yang tidak jatuh itu milik orang miskin.

Pengajaran: Sikap pemurah tidak ditentukan sama ada kita mempunyai harta atau tidak. Tetapi ia
                  berkaitan dengan hati. Jika kita ikhlas, kita akan punya daya untuk memberi. Sebaliknya,
                  jika tidak kita akan sentiasa memberi alasan untuk tidak memberi.

Rabu, 7 Disember 2011

Syaitan kejut untuk solat??

     


         Satu hari, akibat keletihan yang amat sangat Syeikh Abdul Qadir hampir terlewat bangun tidur walaupun waktu subuh hampir tiba.
         Melihat kaeadaan itu, syaitan menyamar sebagai seekor kucing dan menggigit kaki Syeikh tersebut. Syeikh Abdul Qadir pun terbangun. Mujur saja waktu subuh baru sahaja masuk. Dalam pandangan mata hatinya syeikh itu dapat melihat syaitan yang berupa kucing itu.
         Syeikh itu bertanya " Kenapa kau kejut aku bangun subuh sedangkan kau sangat benci pada orang yang solat?" Maka jawab si syaitan "Aku bimbang kalau kau lewat bangun subuh." Syeikh Abdul Qadir kehairanan lalu bertanya "Kenapa?" Syaitan yang sememangnya takut akan orang yang takut kepada Allah terpaksa menjawab. "Aku takut kalau kau terlewat untuk solat subuh kau akan tampung kelewatan itu dengan amalan-amalan lain yang lebih banyak dan serius."
         Tambah syaitan itu lagi, "Kau akan bersedekah, membantu orang lain, mengajar lebih lama dan membaca al-quran untuk menampung kesalahanmu yang sedikit. Dengan itu, aku dan kawan-kawanku akan bertambah susah. Kerja kami akan bertambah banyak dan sukar. Jadi, lebih baik kau solat tepat pada waktunya, dan kami tidak akan terpaksa menghadapi banyak kerja untuk menyekat amalan baik kau nanti!"


Pengajaran: Syaitan akan melakukan apa sahaja untuk menyekat kita dari membuat kebaikan. Jadi,  
                   jangan biarkan mereka berjaya merealisasikan impian mereka itu!